BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

TUGASAN 3: LAPORAN PEMBENTANGAN KOLOKIUM DPLI JAN 09

TAJUK PEMBENTANGAN 1:
MENINGKATKAN MINAT PELAJAR DALAM PEMBELAJARAN PENGURUSAN DIRI PENDIDIKAN KHAS (BERMASALAH PEMBELAJARAN) MENGGUNAKAN TEKNIK MUZIK BERGAMBAR
Dibentangkan oleh: Noraini Merah Husin dan Zahwati Seman.

Ulasan:
a. Penyataan Masalah
Masalah di dalam kajian ini ialah pelajar tidak menunjukkan minat belajar dalam kelas Pengurusan Diri. Pengkaji telah memperkenal teknik muzik bergambar bagi menarik minat pelajar terhadap subjekPengurusan Diri. Oleh yang demikian, kajian ini dibuat bertujuan untuk mengkaji keberkesanan kaedah muzik bergambar ini samada dapat menarik minat pelajar atau sebaliknya.
Objektif yang dinyatakan dalam kajian ini ialah:
1. Untuk menarik minat pelajar dalam mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
2. Memberikan pengetahuan yang lebih luas kepada pelajar dengan mempelbagaikan teknik pengajaran mengikut minat pelajar.
3. Pelajar dapat mengurus diri sendiri dan mengenal peralatan yang mereka perlukan untuk melakukan sesuatu perkara dengan sendiri.

b. Metodologi, Setting Kajian, Sampel Kajian
Metodologi: Merancang, Bertindak, Pemerhatian dan Merefleks
Kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah pemerhatian yang dilakukan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Kaedah ini dipilih kerana dapat mengumpulkan maklumat dengan mudah dan cepat serta dapat melihat secara langsung tindak balas yang ditunjukkan oleh pelajar.
Setting Kajian dan Sampel Kajian:
Kajian dibuat ke atas lima orang responden (pelajar) di PKBS SMK Kajang Utama.
Reka bentuk kajian yang digunakan : Model Kemmis dan Mac Taggart (1998)

c. Pengumpulan dan Penganalisaan Data
Data yang berkaitan, dikumpulkan melalui teknik pemerhatian dan rakaman video ke atas pelajar dari segi minat, tahap prestasi dan pencapaian pelajar. Melalui rakaman video, tingkahlaku pelajar dapat dilihat dengan jelas.

d. Implikasi Kajian
Hasil pemerhatian yang dibuat, didapati pelajar menunjukkan minat dan kesungguhan sepanjang proses P&P berlangsung bagi subjek Pengurusan Diri. Di samping itu juga guru boleh mengetahui sejauh mana penguasaan pelajar memahami apa yang diajar melalui respon yang diberikan oleh pelajar apabila guru menyoal. Guru boleh mempelbagaikan teknik pengajaran seperti dengan teknik permainan.

e. Apa yang dapat anda pelajari dari kajian tersebut
Berdasarkan kajian yang telah dibuat, saya mempelajari bahawa setiap guru perlu sentiasa bersedia dan berusaha meningkatkan kualiti pengajaran dengan idea-idea kreatif supaya dapat menarik minat semua pelajar terutamanya pelajar bekeperluan khas untuk memberikan perhatian sepanjang proses P&P berlangsung. Apa yang penting bagi seorang guru pendidikan khas ialah memastikan semua pelajarnya dapat mengikuti proses P&P dengan berkesan.


TAJUK PEMBENTANGAN 2:
MENINGKATKAN MINAT PELAJAR TINGKATAN 3 DAN 4 DALAM PENDIDIKAN KESIHATAN MELALUI PEMBELAJARAN KOPERATIF
Dibentangkan oleh: Nurwahidah Zolkiflee dan Noor Iezura Ab. Aziz

Ulasan:
a. Pernyataan Masalah
Perkara yang dikaji dalam kajian ini adakah teknik pembelajaran koperatif yang digunakan dapat meningkatkan minat pelajar dalam matapelajaran Pendidikan Kesihatan. Di samping itu juga untuk membentuk keyakinan diri pelajar melalui pembentangan yang dilakukan secara tidaklangsung pelajar dapat menjana pemikiran kreatif dan kritis pelajar dalam menyelesaikan masalah.

b. Metodologi, Setting Kajian, Sampel Kajian
Metodologi: Merancang (RPH, perbincangan), Bertindak, Pengumpulan dan Analisis Data, Refleksi dan Penambahbaikan
Setting kajian dan sampel kajian:
Kajian dilakukan ke atas 25-35 orang pelajar perempuan SMK Seri Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri selama lapan sesi dimana masa yang diambil bagi setiap sesi ialah 7o minit.

c. Pengumpulan dan Penganalisisan Data
Data diperoleh melalui kaedah hasil pemerhatian, hasil kerja kumpulan, temubual,refleksi dan penilaian.
Pemerhatian: Melalui tindakbalas yang ditunjukkan seperti raut wajah. Rakaman juga turut dibuat.
Hasil kerja kumpulan: Pembentangan dan persembahan yang ditunjukkan. Penjanaan idea kreatif pelajar
Temubual: melalui soalan berstruktur dan tidak berstruktur, maklumbalas pelajar samada teknik pembelajaran koperatif menarik atau tidak.
Refleksi dan Penilaian: penggunaan kata kunci bagi membantu pelajar mudah mengingat. Penggunaan video yang berkaitan isu kesihatan.

d. Implikasi kajian
Hasil kajian menunjukkan pelajar menunjukkan minat dalam matapelajaran Pendidikan Kesihatan. Keyakinan diri pelajar semasa membuat pembentangan kumpulan juga meningkat. Hasil kerja yang ditunjukkan pelajar juga semakin memuaskan dengan penghasilan idea-idea yang kreatif.

e. Apa yang dapat anda pelajari dari kajian tersebut
Apa yang saya pelajari daripada kajian ini, teknik yang digunakan dapat menggalakkan penglibatan pelajar secara aktif. Menjadi satu cabaran bagi guru memikir teknik yang terbaik, pelbagai dan berkesan dalam usaha memantapkan mutu dan kualiti pengajaran supaya ianya dapat menarik minat pelajar, dan pelajar akan terkesan dengan ilmu yang disampaikan.


Laporan Pembentangan 1


Meningkatkan Pemahaman Pelajar Melalui Penggunaan Bahan bantu Mengajar Media Elektronik (Klip Video)


Sesi Pembentangan 1
Bilik Perdana B, Palm Garden Hotel
26 Oktober 2009 (Isnin)
9.30-10.30am

Nama Pembentang :
i) Siti Sarah Binti Udzir
ii) Nur Aznida Binti talib


1.0 Pernyataan Masalah

Dalam pembentangan ini pembentang menyatakan, pemilihan tajuk adalah berdasarkan kesedaran mereka akan kelemahan pengajaran dan pembelajaran secara tradisi. Proses P&P secara tradisi yang kebiasaanya guru berperanan sebagai penyalur maklumat manakala pelajar hanya duduk mendengar dan mencatat sahaja dilihat sudah tidak mampu menarik minat pelajar untuk terus fokus sepanjang proses P&P. Situasi dimana hanya guru yang bercakap atau memberi pandangan serta berpusatkan kepada guru sememangnya perlu diperbaharui dengan sesuatu yang lebih segar dan inovatif. Persembahan sebegini hanya akan menjadikan pelajar kurang berinteraksi dengan guru dan pelajar akan terus pasif di dalam kelas. Apatah lagi untuk meningkatkan kefahaman dan penerimaan pelajar terhadap sesuatu ilmu yang ingin disampaikan. Jesteru kajian dibuat berdasarkan masalah yang telah dikenal pasti ini.


2.0 Metodologi, setting kajian dan sampel kajian:

Kajian ini dilaksanakan secara kolaboratif antara dua orang penyelidik yang menjalani latihan mengajar di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya. Seramai 38 orang pelajar telah terlibat secara langsung dalam menjayakan kajian ini. Mereka terdiri daripada 17 orang pelajar tingkatan 1 bagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan 21 orang pelajar tingkatan 4 bagi mata pelajaran Biologi. Tempoh masa yang diambil bagi setiap mata pelajaran ialah empat masa. Setiap klip video yang digunakan adalah berkaitan dengan topik atau tajuk yang diajar dan mengambil masa lebih kurang 2-3 minit.

3.0 Pengumpulan dan Penganalisisan Data

Kajian ini menggunakan beberapa teknik pengumpulan data iaitu:
  • soal selidik
  • kuiz
  • temubual
  • penilaian kendiri
  • pemerhatian
Soal selidik
  • Soal selidik dilakukan bertujuan untuk kami mengetahui amalan pengajaran guru sebelum ini dan pendapat pelajar mengenainya.
  • Beberapa soalan berkaitan telah diajukan dan beberapa jawapan telah dikumpulkan.
Kuiz
o Penyelidik telah menjalankan kuiz sebanyak dua kali iaitu sebelum dan selepas kajian dilakukan.
o Sebelum kajian dijalankan, soalan kuiz diberikan selepas sesi pengajaran secara syarahan tanpa menggunakan video.
o Selepas kajian soalan diberi selepas video ditayangkan. Ini bertujuan melihat perubahan yang ada sebelum dan selepas menggunakan video.

Temubual
  • Temubual pula dilakukan antara penyelidik dengan pelajar dan antara penyelidik dengan guru.
  • Temubual dengan guru dijalankan untuk mengetahui kaedah pengajaran guru serta pandangan guru terhadap tingkah laku pelajar semasa P&P dijalankan.
  • Menurut beberapa orang guru yang di temubual lebih selesa menggunakan kaedah talk and chalk kerana kekangan masa untuk menyediakan BBM berbentuk media elektronik.
  • Guru juga menyatakan pelajar selalu mengantuk di dalam kelas dan kurang melibatkan diri dalam perbincangan.
  • Temubual dengan pelajar pula, mereka berpendapat bahawa menonton video memudahkan mereka untuk memahami sesuatu pelajaran, terutama bagi topik yang melibatkan konsep sains (bagi mata pelajaran Biologi) dan proses kejadian manusia (matapelajaran Pendidikan Islam).
  • Pelajar lebih seronok dan bertambah minat untuk belajar

Penilaian kendiri
  • Penilaian kendiri adalah catatan di dalam buku persediaan mengajar yang dibuat selepas selesai P&P untuk merekod dan menilai aktiviti yang telah dijalankan, reaksi serta penerimaan pelajar, dan kelemahan atau kelebihan pengajaran guru.
  • Penilaian kendiri ini digunakan untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh pelajar dan juga guru.
  • Menerusi penilaian kendiri ini penyelidik telah mencatat dan menilai perubahan-perubahan pelajar dari semasa ke semasa sejak dari minggu pertama mereka masuk ke dalam kelas.

Pemerhatian

o Pemerhatian dilakukan semasa proses P&P dijalankan.
o Penyelidik melakukan sendiri pemerhatian ini dengan seorang mengajar dan seorang lagi membuat pemerhatian di belakang bilik darjah.
o Pemerhatian difokuskan terhadap tingkah laku dan penglibatan pelajar semasa P&P dijalankan.
o Mereka mendapati pelajar seronok dan menumpukan perhatian semasa video ditayangkan.
o Pelajar juga melibatkan diri secara aktif dengan memberikan komen dan pendapat serat tidak mengantuk di dalam kelas.


4.0 Implikasi Kajian

Hasil daripada kajian yang telah dilakukan oleh dua orang pengkaji ini, mereka telah mendapati pelajar lebih seronok, tidak mengantuk di dalam kelas, memberi tumpuan semasa P&P dan lebih aktif di dalam perbincangan di dalam kelas. Keputusan kuiz menunjukkan bagi mata pelajaran Pendidikan Islam, telah berlaku 100% peningkatan markah pelajar manakala bagi mata pelajaran Biologi ialah sebanyak 75% . Keputusan ini sangat membanggakan dan menunjukkan kaedah penggunaan klip video dalam P&P amat membantu.

Manfaat Hasil Pembentangan

Secara peribadi sebelum saya mengikuti pembentangan ini, saya agak kabur apakah yangdikatakan kajian tindakan. Pelbagai persoalan yang bermain difikiran saya. Setelah mengikuti pembentangan ini, saya telah mula mendapat gambaran awal bagaimana kajian tindakan dilakukan, prosedur-prosedur dan aspek-aspek apakah yang perlu diberi perhatian semasa membuat kajian tindakan di sekolah nanti. Sedikit sebanyak saya telah belajar daripada pembentangan ini peranan guru bukanlah sekadar mengajar semata-mata malah lebih dari itu sebagai seorang penyelidik di dalam kelasnya sendiri. Seorang guru perlu bijak mempelbagaikan kaedah pengajaran dan mengaplikasikan teknologi dan kemudahan ICT yang ada dewasa ini ke tahap maksimum. Saya ingin mengucapkan tahniah di atas kejayaan para pembentang semasa kolokium ini yang telah memberi impak positif kepada saya dan rakan-rakan yang lain.


Laporan Pembentangan 2


MENINGKATKAN MINAT PELAJAR DALAM MATA PELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM MELALUI TEKNIK GUBAHAN LIRIK LAGU


Sesi Pembentangan 2
Bilik Perdana B, Palm Garden Hotel
27 Oktober 2009 (Selasa)
11.00-12.00pm

Nama Pembantang :
i) Robiah Binti Mohamad
ii) Siti Hajjar Husnaa binti Yahya



1.0 Pernyataan Masalah

i. Dewasa ini pelajar dilihat kurang minat terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam dan memandang enteng mata pelajaran ini. Oleh yang demikian penyelidik mencuba teknik gubahan lagu untuk melihat keberkesanannya bagi mencapai objektif meningkatkan minat para pelajar terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam.

ii. Kaedah pengajaran guru mengajar Pendidikan Islam yang tidak menarik dan berpusatkan guru sahaja tanpa penglibatan aktif para pelajar


2.0 Metodologi, setting kajian dan sampel kajian:

Kajian tindakan ini dijalankan secara kerjasama antara dua orang penyelidik yang menjalani latihan mengajar di SMK Desa Perdana, Kuala Lumpur. Seramai 25 orang pelajar tingkatan dua telah dijadikan sampel kajian mereka.

3.0 Pengumpulan dan Penganalisisan Data

  • Rakaman Audio
  • Rakaman video
  • Pemerhatian
  • Temubual

4.0 Implikasi Kajian

Kajian tindakan yang telah dijalankan oleh dua orang penyelidik ini telah menunjukkan hasil positif. Dalam usaha meningkatkan minat pelajar terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam, teknik gubahan lagu telah menjadikan pelajar aktif melibatkan di dalam tugasan yang diberikan dan lebih bersemangat dengan menyanyikan lagu ciptaan sendiri. Mereka juga aktif bersoal jawab dengan guru dan lebih fokus dengan apa yang dilakukan. Rata-rata pelajar menyatakan bahawa teknik pembelajaran ini tidak membosankan. Mereka mendapati teknik ini menarik dan memudahkan mereka mengingati sesuatu fakta yang diajar. Secara tidak langsung juga pelajar dididik berfikiran kreatif dan bergerak pantas terhadap arahan yang diberikan.

Manfaat Kajian

Seperti pembentangan yang pertama, pembentangan ini turut memberi impak berguna kepada saya. Melalui pembentangan ini saya mendapat ilmu baru yang boleh digunakan atau diinovasikan semasa P&P. Pendekatan yang digunakan pembentang dapat mengubah persepsi sesetengan pelajar dan pandangan tipikal mereka yang menganggap mata pelajaran Pendidikan Islam ini kurang menarik dan mereka perlu ‘skema’ semasa mempelajarinya. Dengan pendekatan sebegini pelajar lebih menikmati pembelajaran mereka. Pendekatan gubahan lagu dan nyanyian boleh diaplikasikan dalam P&P pendidikan Islam dengan cara yang betul dan tidak berlebih-lebihan sehingga menyimpang dari ajaran Islam itu sendiri.

Saya tertarik dengan kaedah pengajaran yang digunakan melalui gubahan lirik lagu seperti nasyid ini . Sewaktu pembentangan, saya teringat kembali semasa zaman persekolahan saya di sekolah agama rakyat di Tambun, Perak pada usia 7 tahun. Ustazah telah mengajar saya dan rakan-rakan lagu nasyid untuk memudahkan kami mengingati nama anak-anak Nabi Muhammad. Lirik lagu yang sehingga sekarang saya masih ingat ialah seperti berikut;-

Anak nabi kita ada tujuh orang
Tiga laki-laki empat perempuan
Kassim, Abdullah, Ibrahim, Siti Fatimah,
Zainab, Umi Kalsom, Siti Rokiah.

Sehingga ke sekolah menengah saya akan menyanyikan lagu ini dalam hati apabila terdapat soalan berkaitan semasa peperiksaan bagi mengingati semula. Contohnya, Berapa orangkah anak Nabi Muhammad?. Apa yang ingin ditekankan di sini ialah pendekatan gubahaan dan nyanyian lagu ini mampu memudahkan pelajar untuk mengingat sesuatu fakta dan telah terbukti keberkesanannya pada diri saya sendiri. Walaupun contoh yang saya berikan nampak mudah, namun ia sememangnya memberi impak besar pada saya kini.



TAJUK PEMBENTANGAN 1:
MENINGKATKAN MINAT PELAJAR DALAM MATA PELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM MELALUI TEKNIK GUBAHAN LIRIK LAGU

Nama Pembentang : ROBIAH BINTI MOHAMAD & SITI HAJJAR HASNAA BINTI YAHYA
Sekolah : SMK Desa Perdana, Kuala Lumpur

1.0 PERNYATAAN MASALAH

~Pengkaji mencari teknik P&P yang sesuai untuk digunakan di dalam bilik darjah supaya dapat menarik minat pelajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam.

~Pengkaji cuba menggunakan teknik gubahan lagu di dalam proses P&P agar dapat membantu pelajar menguasai topik-topik di dalam Pendidikan Islam.


2.0 METODOLOGI, SETTING KAJIAN, SAMPEL KAJIAN

2.1 Metodologi
Pengkaji menggunakan Model Kajian Tindakan Kemmis & Mc Taggart yang mengandungi beberapa langkah iaitu:
  • Merancang
  • Tindakan
  • Pemerhatian
  • Refleksi

2.2 Setting Kajian
Kitaran 1
• Guru menggubah sendiri lirik lagu berdasarkan satu topik dalam Pendidikan Islam dan merakamkan lagu tersebut mengikut melodi satu lagu popular yang dipilih.
• Guru memperdengarkan dan mengedarkan lirik lagu tersebut kepada semua pelajar dan meminta pelajar untuk menyanyikannya secara beramai-ramai.

Kitaran 2
• Guru meminta pelajar sendiri yang menggubah lirik lagu mengikut topik yang diberikan.
• Pelajar dibahagikan kepada 3 kumpulan.
• Setiap kumpulan perlu menggubah lirik dan menyanyikannya mengikut melodi lagu popular yang dipilih sendiri oleh pelajar mengikut kreativiti kumpulan masing-masing dan diberikan tempoh selama 2 minggu.
• Setiap kumpulan membuat persembahan dalam bentuk pertandingan dan pemenang diberikan ganjaran.

2.3 Sampel Kajian
Pengkaji menggunakan seramai 25 orang pelajar tingkatan 2 SMK Desa Perdana sebagai sampel kajian.

3.0 PENGUMPULAN DAN PENGANALISISAN DATA
Pengkaji mengumpul dan membuat analisis kajian melalui:
• Rakaman Audio
- Di awalnya pelajar merasa kekok dan sukar untuk menghayati lirik lagu tetapi dalam masa yang sama begitu teruja.
• Rakaman video
- Pelajar menunjukkan semangat yang tinggi untuk menyanyi lagu ciptaan sendiri.
- Pelajar melibatkan diri secara aktif dalam tugasan yang diberi.
• Pemerhatian
- Pelajar tidak bosan dan berasa seronok.
- Selalu bertanyakan guru.
- Menunjukkan semangat berkumpulan yang tinggi.
• Temubual
- Pengkaji menemubual seramai 5 orang pelajar untuk menyelami perasaan mereka setelah teknik ini dijalankan.
- Mendapat respon yang baik daripada semua pelajar.

4.0 IMPLIKASI KAJIAN
*Pelajar sangat seronok melakukan tugasan yang diberi kerana sedikit mencabar.
*Setiap ahli memberikan respon yang positif dan sentiasa aktif melibatkan diri.
*Pelajar mudah mengingati topik yang dipelajari melalui lirik lagu yang digubah sendiri.
*Sistem ganjaran yang digunakan menaikkan lagi semangat pelajar.

5.0 APA YANG DAPAT DIPELAJARI
Pelajar-pelajar lebih berminat sekiranya terdapat kelainan di dalam kaedah pengajaran terutamanya yang menyeronokkan dan mencabar minda mereka. Oleh yang demikian, guru seharusnya kreatif dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya apa yang diajar sampai kepada pelajar dengan berkesan dan lebih bermakna.



TAJUK PEMBENTANGAN 2

MENINGKATKAN PENGUASAAN MENULIS DAN MEMBACA JAWI DI KALANGAN PELAJAR TINGKATAN 2 MELALUI KAEDAH SIMULASI KOMPUTER

Nama Pembentang : MOHD SARHAN ISMAIL (P48693), NUR BAITI ANUM MOHD SHAFIE (P48615) dan ROSMIZA RIOH (P48604)

Sekolah : SMK BANDAR BARU SUNGAI LONG

1.0 PERNYATAAN MASALAH

Pengkaji ingin mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar dalam menulis dan membaca Jawi. Ini adalah kerana pelajar-pelajar didapati masih menghadapi masalah dalam menyambungkan huruf-huruf Jawi dengan betul serta keliru untuk menulis perkataan rumi ke dalam tulisan Jawi.

2.0 METODOLOGI, SETTING KAJIAN, SAMPEL KAJIAN


2.1 Metodologi

Pengkaji menggunakan beberapa kaedah yang mengandungi beberapa langkah iaitu:

· Simulasi komputer

· Kad imbasan (Flash card)

· Lembaran


2.2 Setting Kajian

Kaedah pengajaran melalui simulasi komputer memberi peluang kepada pelajar untuk belajar menyebut setiap huruf jawi dengan mengikut animasi yang ditunjukkan. Manakala melalui kad imbasan pula, pelajar-pelajar akan dipilih secara rawak untuk tampil ke hadapan dan guru meminta pelajar memilih huruf jawi bersama dengan perkataan dalam rumi. Sebelum pelajar diberikan ujian jawi, setiap pelajar terlebih dahulu diberikan satu set lembaran (jadual) yang mengandungi huruf-huruf jawi beserta dengan penggunaannya dalam perkataan. Pelajar akan diberi masa untuk meneliti lembaran tersebut sebelum ujian dijalankan.


2.3 Sampel Kajian

Pengkaji menggunakan seramai 28 orang pelajar tingkatan 2 SMK Bandar Baru Sungai Long sebagai sampel kajian.


3.0 PENGUMPULAN DAN PENGANALISISAN DATA


3.1 Pengkaji mengumpul data melalui:

· Borang pemerhatian guru

Pemerhatian dilakukan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam bilik darjah dan penilaian adalah dibuat berdasarkan pemerhatian daripada guru sendiri terhadap pelajarnya.

· Hasil lembaran kerja pelajar

Guru juga mengumpul data melalui hasil lembaran kerja daripada pelajar.

· Borang temubual pelajar

Temubual diadakan terhadap pelajar untuk mengenalpasti bagaimana respon daripada mereka dan meminta pendapat serta pandangan mereka mengenai aktiviti P&P tersebut.

· Ujian Jawi 1 dan 2

Ujian Jawi telah diadakan bagi mengumpul data kuantitatif bagi setiap orang pelajar dalam mengenalpasti tahap pencapaian mereka setelah aktiviti P&P ini dijalankan.


3.2 Penganalisisan Data

· Melalui data terkumpul yang dijalankan terhadap 28 orang pelajar tingkatan 2, didapati bahawa menerusi ujian Jawi 1 iaitu sebelum kajian dijalankan, peratusan pelajar yang mendapat skor 10-12 adalah sebanyak 35.7%. tetapi setelah kajian dijalankan dengan menggunakan kaedah simulasi, peratusannya telah meningkat kepada 53.6%. Maka dapatlah dilihat di sini bahawa terdapat peningkatan dalam peratusan pelajar yang menunjukkan keberkesanan kaedah simulasi ini.


4.0 IMPLIKASI KAJIAN


a) Kaedah Simulasi Komputer

Melalui kaedah ini, para pelajar kelihatan lebih semangat dan menunjukkan minat serta memberi respon yang positif serta memberangsangkan sepanjang proses P&P di dalam bilik darjah. Kaedah ini dilihat dapat membantu pelajar untuk memperbaiki dan meningkatkan penguasaan membaca dan menulis Jawi dengan baik.


b) Kad Imbasan

Melalui kad imbasan yang digunakan di dalam bilik darjah banyak membantu para pelajar yang lemah dalam penulisan dan pembacaan Jawi dengan mudah dapat mengingati huruf-huruf jawi.


5.0 APA YANG DAPAT DIPELAJARI:

Melalui kaedah simulasi yang digunakan ini, pelajar-pelajar bukan sahaja dapat mempelajari dan mengingati huruf-huruf Jawi dengan mudah, tetapi di samping itu ia turut mendedahkan pelajar dengan teknologi terkini kerana menggunakan komputer sebagai bahan bantu mengajar. Oleh yang demikian adalah menjadi tugas guru untuk memperkembangkan lagi minda pelajar tanpa mengabaikan teknologi sebagai asas dalam pendidikan.



0 comments: